PETISYEN BANTAHAN PEMILIKAN ATAU PERMOHONAN INDIVIDU TERHADAP TANAH PESISIR PANTAI KAMPUNG TERINGAI LAUT DAN KAMPUNG-KAMPUNG BERDEKATAN YANG TERLIBAT

Salam sejahtera,
Petisyen ini bertujuan untuk mengumpul tandatangan bagi membantah permohonan individu seperti yang tertera pada gambar resit permohonan iaitu individu bernama JULITA BINTI DALINSI, No LA 20-25220165 (Data berkaitan boleh dirujuk pada lampiran gambar resit bayaran diatas) yang ingin memiliki secara persendirian tanah pesisir pantai bermula dari pantai Kampung Teringai Laut dan kampung-kampung berhampiran yang terlibat seluas 559.52 ekar.
Ini kerana jika tanah pesisir pantai ini sudah dimiliki secara persendirian oleh individu tersebut maka akan menyulitkan penduduk kampung yang mencari rezeki seperti menangkap ikan di laut berdekatan atau pun mencari siput dan ikan kecil di laut tepi pantai kerana pihak tersebut akan melarang penduduk kampung memasuki kawasan yang telah dipohonnya. Ini sudah terbukti apabila individu tersebut sudah memulakan kegiatan meminta bayaran sewa terhadap beberapa pengunjung yang datang berkelah di kawasan tersebut tanpa mengira status penduduk setempat atau pengunjung dari luar kawasan.
Malah besar kemungkinan untuk kami penduduk kampung Teringai ini beriadah juga pasti akan diminta untuk membuat bayaran sedangkan sepatutnya beriadah di pantai kampung sendiri itu seharusnya bebas dan tidak perlu membayar apa-apa. Apa lagi sudah terbukti dengan kejadian terbaru pada 30 dan 31 Disember 2025, pihak individu tersebut telah mengenakan caj kepada pengunjung yang memasang khemah dengan harga yang tidak berpatutan. Sedangkan pengunjung tersebut juga berasal dari kampung berdekatan dan sepatutnya tiada isu jika pengunjung tersebut ingin berkhemah di kawasan tersebut. Belum lagi sah menjadi miliknya pun sudah begitu, apa akan jadi kepada kami sekiranya individu tersebut sudah memiliki pantai ini sepenuhnya?
Untuk makluman kawasan pantai Kampung Teringai Laut ini juga sudah sejak turun temurun digunakan oleh kami penduduk-penduduk kampung ini dan kampung-kampung berdekatan untuk beriadah, mencari rezeki dengan mencari pelbagai hasil laut, berjualan makanan apabila ada perayaan atau pesta hujung tahun dan kadang-kadang kami akan membuka pasar tamu sekali sekala apabila ada persetujuan bersama. Tiba-tiba datang orang luar ini mengenakan caj bayaran kepada setiap pengunjung tidak kira dari kampung ini atau dari luar, semua dikenakan caj sedangkan ini tempat kami. Sudah tentu kami tidak berpuas hati dan tidak akan berdiam diri.
Individu yang memohon tanah pesisir pantai ini juga bukanlah orang asal dari kampung ini dan tiada kaitan langsung dengan penduduk disini. Walaupun sekiranya ada antara orang asal disini yang memohon tetap akan kami bantah sekeras-kerasnya untuk memiliki tanah pesisir pantai ini secara persendirian. Tanah pesisir pantai sepatutnya adalah milik bersama oleh penduduk kampung untuk mencari rezeki mahu pun untuk beriadah bersama keluarga.
Marilah bersama-sama kita menandatangani petisyen ini untuk menyampaikan bantahan kepada pihak berkaitan untuk menyelamatkan pantai kita daripada dimiliki oleh orang luar. Petisyen ini terbuka kepada semua penduduk Kampung Teringai Laut, kampung-kampung berdekatan dan penduduk kampung sepanjang Jalan Teringai dari simpang masuk kerana ini adalah pantai kita bersama.
Pantai kita adalah hak kita. Pertahankan hak kita, untuk kita dan generasi seterusnya.
Terima kasih
MOJUIS BIN BANADAN Hubungi pencipta petisyen